Pertama kali dalam sejarah Akademi Fantasia (AF), Astro telah membuat langkah pembaharuan dengan melantik pelakon Puteri Gunung Ledang, Tiara Jacquelina sebagai pengetua baru AF musim ke-7. Pengumuman ini dibuat oleh pihak Astro di Jalan Dungun, Damansara, sebentar tadi menerusi program Diari AF7.
Perubahan itu menjanjikan sebuah kelainan drastik kerana sepanjang penerbitan AF belum pernah AF melantik seorang pengetua wanita untuk mengemudikannya. Ia juga mengakhiri spekulasi siapa pengetua AF7 selama ini selepas tenaga pengajar dan barisan pelajarnya diumumkan.
Pengetua terdahulu adalah Freddie Fernandez, Ramli MS, M Nasir, Ramli Sarip dan Roslan Aziz.
Tiara yang baru kembali dari mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah ternyata gembira dengan perlantikan itu dan berazam membimbing pelajar AF7 ke tahap yang cemerlang. Antara artis yang pernah digilap oleh Tiara di bawah agensinya dulu, Kit Kat Klub adalah Sofia Jane, Aida Rahim dan Maria Farida.